Peluang Warisan Lebih Baik Berbanding PH Jika Mereka ‘Berpisah’, Kata Penganalisis

Peluang Warisan lebih baik berbanding PH jika mereka ‘berpisah’, kata penganDalam PRN Melaka dan Sabah, PKR berdepan dengan kesukaran untuk menang tanpa sekutu mereka, menurut penganalisis politik.

KOTA KINABALU: PKR mungkin berdepan laluan sukar di Sabah sekiranya tiada kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Warisan pada pilihan raya akan datang, menurut pandangan penganalisis politik.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, keadaan itu tidak mustahil berlaku sekiranya pergeseran antara pemimpin Warisan dan PKR terus berlarutan sehingga berlakunya perpecahan.

“Warisan dengan sentimen parti lokal mereka pastinya ada kelebihan terutama di kawasan Pantai Timur Sabah, sekiranya mereka bekerjasama sudah pastinya lebih kuat kerana PH sedia maklum terkenal dengan kelebihan mereka dalam kempen siber.

“Berdasarkan PRN (pilihan raya negeri) Melaka, malahan PRN Sabah pada 2020 sebenarnya menunjukkan DAP mampu memenangi kerusi yang ditandingi mereka tanpa sebarang masalah besar tetapi PKR berdepan dengan kesukaran untuk menang tanpa sekutu mereka,” katanya kepada FMT.

Lee Kuok Tiung.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pergeseran antara pemimpin Warisan dan PKR susulan kekalahan teruk PH pada PRN di Melaka, baru-baru ini.

Naib Presiden Warisan Junz Wong sebelum ini berkata, kekalahan PH adalah disebabkan rakyat marah dengan memorandum persefahaman (MoU) antara gabungan berkenaan dengan kerajaan.

Beliau juga menyatakan, PH perlu menukar pucuk pimpinannya kerana berpendapat mereka tidak mampu untuk pergi lebih jauh di bawah kepimpinan Anwar.

Kenyataan Junz itu kemudian dibidas Ketua Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin yang mengungkit kegagalan Warisan dalam beberapa pilihan raya lalu, namun masih mengekalkan Shafie sebagai peneraju mereka.

Lee berkata, kenyataan Junz itu tidak mustahil diselubungi oleh persaingan antara Shafie dengan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Jelas sejurus selepas PRN Melaka, rakan-rakan sekutu PKR cuba menjadikan Anwar sebagai ‘kambing hitam’ atas prestasi buruk PH di Melaka khususnya bila PKR gagal memenangi sebarang kerusi.

“Begitupun kita perlu realistik kedudukan Anwar terutamanya sebagai Presiden PKR tidak mungkin diganggu gugat dalam masa terdekat ini malahan tiada pemimpin dalam PKR yang dilihat boleh mengambil alih peranan beliau,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, pilihan raya akan datang bakal menyaksikan pertandingan banyak penjuru di Sabah sekiranya Warisan dan PH masing-masing membawa haluan.

Katanya, Warisan kemungkinan akan bergerak sendirian jika pergeseran dengan PKR berterusan.

“Bagaimanapun, PH juga akan berdepan perkara sama seperti Warisan kerana mereka sukar berdaya saing jika sesama pembangkang asyik bertelagah,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *