Rakam Keterangan Ahli Parlimen Sepanggar Prosedur Siasa – PDRM

Mohd Azis Jamman

MARAN: Tindakan polis merakam keterangan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman adalah prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan terhadap Mohd Azis dilakukan selepas polis menerima laporan mengenai isu berkenaan.

“Repot polis itu ada, jadi kita jalankan siasatan, lepas siasat kita rujuk kepada pihak AGC (Pejabat Peguam Negara).

“Saya tidak mahu komen lebih sebab ini kerana apabila adanya repot polis dan kita rasa ada keperluan untuk menjalankan siasatan, kita buatlah siasatan. Ini baru siasatan, belum ambil tindakan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke perumahan polis terbengkalai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan polis mengambil keterangan Mohd Azis susulan ucapan dibuat Ahli Parlimen itu ketika membahaskan usul Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dalam sidang media di lobi Parlimen pada Selasa lalu mendakwa beliau diminta memberi keterangan kira-kira satu jam oleh pihak polis selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lalu.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun campur tangan dalam isu berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan Lim Guan Eng sejurus selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36.10 mengenai isi-isi ucapan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *