Beri Tambahan RM2 Bilion Kepada Sabah, Sarawak, Bumiputera & Bukan Bumi, Kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemberian tambahan RM2 bilion hanya berjumlah 0.1% daripada defisit bajet.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan menambah peruntukan Bajet 2022 untuk Sabah dan Sarawak bagi membuktikan Keluarga Malaysia bukan sekadar slogan kosong.

Katanya, tambahan RM2 bilion peruntukan untuk Sabah, Sarawak, Bumiputera dan bukan Bumiputera, akan membantu menyatukan Malaysia.

“Memberi empat sektor kritikal ini tambahan RM500 juta setiap satu atau tambahan RM2 bilion peruntukan Belanjawan berjumlah 0.1% daripada defisit Belanjawan,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan menyuarakan rasa tidak senang terhadap peruntukan bajet itu dan menggesa lebih banyak diberikan kepada Sabah dan Sarawak, dan berkata bajet itu harus adil untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, jantina atau wilayah.

Lim berkata, peruntukan tambahan untuk kedua-dua negeri itu penting bagi menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi

“Tambahan RM2 bilion di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion tidak akan menjejaskan tahap hutang Kerajaan Persekutuan atau defisit Belanjawan sebanyak 6.5% tahun ini dan 6% tahun depan, tetapi mungkin kritikal untuk mengatasi pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi” katanya.

Beliau berkata, peruntukan itu perlu berdasarkan keperluan yang boleh memberikan keadilan sosio ekonomi, hasil yang berkesan dan menyatupadukan rakyat.

Lim juga mengkritik PAS kerana menentang peruntukan tambahan itu, dengan berkata: “Menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis untuk mewajarkan pengagihan peruntukan kerajaan bukan sahaja akan memecahbelahkan malah membawa kepada kronisme, rasuah dan salah guna kuasa terhadap penggunaan dana dan sumber kerajaan.”

Beliau turut menuduh PAS terus menggunakan perkauman dan ekstremisme sebagai senjata politik untuk meraih sokongan dengan menolak peruntukan kepada bukan Bumiputera.

“DAP kesal kerana Ahli Parlimen PAS terus menentang peruntukan tambahan itu bukan atas dasar rasional ekonomi tetapi atas dasar kaum.

“Ahli Parlimen PAS menentang cadangan DAP dengan mendakwa bahawa adalah tidak adil bagi kumpulan bukan Bumiputera untuk turut mendapat tambahan RM500 juta kerana mereka hanya terdiri 30% daripada penduduk dan terdapat lebih ramai Bumiputera yang miskin

“DAP tidak membantah peruntukan RM11.4 bilion untuk Bumiputera tetapi menggesa peruntukan yang lebih dan adil untuk Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia.

“Menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis dalam peruntukan Belanjawan tidak akan membantu dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian golongan miskin dan perniagaan, terutamanya PKS,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *