Kadar Kebolehjangkitan Covid-19 Di Sabah Meningkat

KOTA KINABALU: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Sabah meningkat kepada 1.01 berbanding 0.98 pada awal bulan ini, melepasi Rt nasional 1.0 yang direkodkan kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata perkembangan itu membimbangkan, berikutan berlaku peningkatan kes harian COVID-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

Katanya, sikap orang ramai menjadi penentu utama kepada kejayaan melawan jangkitan virus COVID-19 bagi mengelak peningkatan kes yang tinggi seperti berlaku sebelum ini.

“Setakat 22 November, kadar kebolehjangkitan atau Rt bagi Malaysia ialah 1.0 tetapi bagi Sabah, kadar ini naik melepasi 1.0 kepada 1.01.

“Ketua Pengarah Kesihatan sudah memberi peringatan agar rakyat semua sentiasa berwaspada bagi mengelak berlaku satu lagi pandemik yang serius seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kebanyakan daerah di Sabah mencatat pertambahan kes baharu yang agak tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 melambung kepada 526 kes semalam berbanding 485 kes kelmarin.

Katanya, antara daerah mencatat pertambahan kes ketara ialah Kota Marudu yang meningkat 27 kes kepada 54 kes, diikuti Beaufort yang mencatat peningkatan 33 kes kepada 49 kes dan Telupid, meningkat 22 kes kepada 25 kes semalam.

“Kota Kinabalu pula mencatat penurunan 60 kes kepada 101 kes tetapi kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah. Daerah Tuaran pula mencatat penurunan yang agak banyak iaitu 43 kes kepada 19 kes manakala di Ranau turun 14 kes kepada 19 kes,” katanya.

Beliau berkata, kes sporadik atau kes positif yang dikesan melalui saringan bergejala kekal tinggi dengan hampir 41 peratus berbanding 52 peratus bagi kes kontak rapat.

Katanya, statistik itu menggambarkan sikap lalai masyarakat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh sebahagian masyarakat yang membimbangkan jika berterusan.

“Mereka yang sudah lengkap divaksin juga adalah kumpulan terbesar kes jangkitan baharu setiap hari. Perlu diingat, vaksin tidak memberi kita perlindungan 100 peratus, sebaliknya sikap kita adalah pelengkap kepada pertahanan daripada jangkitan,” katanya.

Sebanyak tujuh kes kematian turut dilaporkan di Sabah, semalam iaitu masing-masing dua kes di Keningau dan Papar, manakala masing-masing satu kes di Beaufort, Kota Kinabalau dan Tawau.

Seramai 479 pesakit COVID-19 pula dilaporkan sembuh semalam, manakala 1,624 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 681 orang di hospital, manakala 925 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta 18 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *