8 Juta Liter Air Dicuri Setiap Hari Di Sepanggar – JANS

Edward dalam sidang akhbar menjelaskan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Kota Kinabalu di pejabatnya di Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menganggarkan sebanyak enam hingga lapan juta liter air dicuri setiap hari di sekitar Sepanggar.

Pengarahnya, Ir Edward Lingkapo berkata, jumlah air yang dicuri setiap hari itu sebenarnya mampu menampung bekalan di dua kawasan perumahan yang mengalami masalah di bandar raya ini.

Menurutnya, penguatkuasaan perlu dilakukan secara bersepadu dengan agensi lain kerana ada perkara bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.

“Kebanyakan kejadian kecurian air berlaku di kawasan Sepanggar yang terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) atau setinggan yang didiami warga asing atau tempatan.

“Enakmen kita tidak membenarkan perkhidmatan bekalan air diberi kepada mereka disebabkan status tanah dan status bukan warganegara.

“Masalah besar kita pula, kita tidak dapat ambil tindakan mengusir dan menangkap (PATI) kerana ia di luar bidang kuasa kami,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat JANS di Sembulan, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung masalah air yang kritikal dihadapi pengguna di beberapa kawasan di bandaraya utara Kota Kinabalu termasuk di University Utama Condominium (UUC) dan University Condo Apartment 2 (UCA2).

Tambah beliau lagi, jika tiada kecurian air tekanan air akan dapat dipertingkatkan sekali gus dapat menampung masalah air di UUC da UCA2. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *