Sabah Dilayan Lebih Buruk Bawah Bajet PN, Kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, Sabah hanya menerima 6.9% daripada perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2022, berbanding 9.3% bawah PH.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa, Sabah dilayan dengan lebih buruk bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, negeri itu hanya menerima 6.9% daripada perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2022, berbanding 9.3% bawah Pakatan Harapan (PH).

Dalam ucapannya pada konvensyen DAP Sabah di Sandakan, Lim mempersoalkan berapa banyak Bumiputera Sabah yang miskin akan dapat daripada wang yang diperuntukkan untuk pembangunan Bumiputera dalam bajet persekutuan, berbanding Bumiputera di Semenanjung.

“Bajet 2022 akan memperuntukkan RM11.4 bilion khas untuk pembangunan Bumiputera, tetapi berapa banyak jumlah itu akan disalurkan kepada Sabah?

“Sehingga kini, kerajaan persekutuan enggan mendedahkan angka-angka ini, terutamanya jurang pendapatan antara Bumiputera di Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Tambahnya, walaupun PN dan BN memenangi pilihan raya negeri, Sabah dilayan dengan lebih buruk bawah bajet tahunan.

Walaupun perbelanjaan pembangunan meningkat kepada RM75.6 bilion, Sabah masih menerima peruntukan sama sebanyak RM5.2 bilion.

Katanya lagi, “sentimen perkauman dan ekstremis” yang dijadikan latar belakang dalam peruntukan bajet tidak membantu Sabah, yang kekal menjadi antara negeri termiskin di Malaysia.

Lim menegaskan, walaupun DAP tidak membantah peruntukan RM11.4 bilion bagi Bumiputera dalam bajet, lebih banyak harus diperuntukkan bagi masyarakat bukan Bumiputera, setimpal dengan 30% populasi mereka di negara ini.

Peruntukan sekarang tidak adil, katanya.

“Atas sebab ini, Sabah mesti melindungi dan memelihara keharmonian dan warisannya yang unik.

“DAP akan bersama-sama semua parti menentang sebarang cubaan untuk mengganggu hak asasi kebebasan beragama di negara ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *