Lelaki Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bantu Padam Kebakaran

Kebakaran yang berlaku di Kampung Suang Punggur malam tadi.

KOTA BELUD : Seorang lelaki nyaris maut apabila terkena renjatan elektrik ketika membantu memadamkan kebakaran di Kampung Suang Punggur di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.25 malam itu, mangsa, Mohammad Azhar Julin, 20, sedang membantu memadamkan kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba dan bernasib baik sempat diselamatkan penduduk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.28 malam, enam anggota dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, sebaik tiba di lokasi yang turut dibantu lima anggota Pegawai Bomba Bantuan (PBB), pihak bomba mendapati terdapat seorang mangsa terkena renjatan elektrik.

“Mangsa yang menyedari arus elektrik bernasib baik sempat ditarik penduduk lain yang berada di lokasi dan dihantar ke Hospital Kota Belud dalam keadaan sedar untuk rawatan lanjut.

“Sebuah rumah jenis tidak kekal dan sebuah motosikal terbakar 100 peratus namun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 11.19 malam sebelum operasi ditamatkan jam 11.50 malam kemudian.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik πŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *