Penghuni Perumahan UCA 2 Perit Masalah Bekalan Air Berlarutan

KOTA KINABALU, 20 Nov : Mengalami catuan bekalan air sejak lebih enam bulan lepas dan disusuli ketiadaan bekalan air sejak 10 hari lepas amat memeritkan bagi lebih 2,000 penghuni Universiti Condo Apartment 2 (UCA 2) di sini.

Keadaan bertambah buruk apabila bekalan asas yang dihantar menggunakan lori ke kawasan perumahan itu tidak mencukupi menyebabkan penghuni terpaksa mencari alternatif mendapatkan air bagi kegunaan harian.

Penjawat awam, Ganesah Rao, 33, berkata pada peringkat awal pelaksanaan catuan, bekalan air hanya disalurkan pada 5 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 9 malam sehari.

“Bekalan air kemudian meruncing kepada hanya tiga jam sehari namun penduduk masih boleh menerima keadaan itu meskipun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama sebulan pada Ogos lepas.

“Kami ingatkan masalah itu akan berakhir dalam tempoh sebulan dua tetapi berlarutan sehingga sekarang. Saya bekerja dan tiada orang di rumah untuk mengangkut air sekali gus mengganggu urusan harian,” katanya yang ditemui di sini hari ini.

Suri rumah, Leha Lee, 34, berkata ketiadaan bekalan air memberi kesan kepada emosi dan mentalnya apabila terpaksa mengangkut air ke rumah setiap hari namun pada masa sama perlu membayar bil air.

Beliau berkata wakil penghuni bersama pihak pengurusan UCA 2 telah mengadakan perbincangan mengenai masalah berkenaan tetapi masih menemui jalan buntu.

“Paling menyedihkan ada jiran yang bersalin secara pembedahan terpaksa mengangkut air malah warga emas dan kanak-kanak turut mengangkut air menggunakan botol mineral.

Bagi Azlan Sohaibah, 36, beliau mahu masalah bekalan air itu diambil tindakan segera terutama oleh pihak pengurusan perumahan itu kerana penghuni telah membayar kos pengurusan kediaman berkenaan.

“Kami sangat sengsara, kos hidup semakin bertambah apabila terpaksa membeli air malah susah untuk memasak. Janganlah lagi diberikan pelbagai alasan, kami hanya mahu disalurkan bekalan air paip bersih dalam tempoh 24 jam ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *