Sudah Tiba Masanya Air Sabah Diurus Pihak Ketiga – Bung

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU : Mungkin sudah tiba masanya pengurusan bekalan air di Sabah dipertanggungjawabkan kepada pihak ketiga setelah masalah bekalan itu berlaku saban tahun, malah amat serius ketika ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata pihaknya kini sedang melakukan tindakan jangka pendek dengan memberikan bekalan air di kawasan terjejas antaranya di University Utama Condominium (UUC) dan  University Condo Apartment 2 (UCA 2) di sini.

Beliau berkata tindakan susulan bagi menyelesaikan masalah bekalan air akan dibuat selepas ini berdasarkan kajian dan bengkel yang telah dianjurkan.

“Saya akan bentangkan kertas cadangan kepada Kabinet Negeri Sabah untuk mengatasi masalah air di Sabah. Perkara ini bukan mudah kerana melibatkan berbilion ringgit perlu dibelanjakan (bagi mengatasi masalah ini).

“Rakyat Sabah berhak menikmati bekalan air bersih seperti di negeri lain. Saya memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan gangguan yang berlaku amat dikesali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini timbul rungutan beberapa penduduk terutama di UUC dan UCA 2 dengan mendakwa terputus bekalan air bersih sejak kira-kira seminggu lepas dan memohon pihak bertanggungjawab segera mengatasi masalah itu.

Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dalam kenyataan berasingan berkata masalah bekalan air berterusan menjadi isu utama yang wajar diberi perhatian dan tindakan segera oleh pemimpin tertinggi kerajaan Sabah.

Beliau kesal dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang gagal menyelenggara pam air dengan baik di Loji Rawatan Air Telibong menyebabkan bekalan air terputus dan gagal merancang untuk memberikan bekalan air berterusan kepada penduduk.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri untuk mencari jalan penyelesaian sepenuhnya terhadap masalah bekalan air antaranya dengan meletak hanya pegawai dan jurutera terbaik serta berkelayakan di JANS.

Selain itu, katanya lebih banyak dana perlu disalurkan bagi mengatasi masalah itu dan berusaha meminimumkan jumlah Air Tanpa Hasil (NRW) disebabkan – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *