Tidak Semua Jalanraya Rosak Yang Ditular Warganet Bawah Tanggungjawab JKR

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, adalah sukar untuk mengelak persepsi masyarakat apabila timbul isu kerosakan jalanraya di negeri ini yang selalunya dikaitkan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, dari segi nama jabatan sudah tentu tanggapan masyarakat umum adalah segala kerosakan jalanraya di negeri ini menjadi tanggungjawab JKR sepenuhnya.

Antara keluhan daripada warga net berhubung keadaan jalan raya di Sabah.

Bung menjelaskan tidak semua kerosakan jalanraya yang ditular oleh beberapa pihak di media cetak atau di media sosial merupakan jalanraya yang menjadi tanggungjawab JKR untuk memperbaikinya.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, umum perlu mengetahui terdapat tujuh kategori jalan raya di Sabah iaitu Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah, Jalan Luar Bandar, Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Estate Kelapa Sawit.

“Kategori Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Estate Kelapa Sawit juga banyak mendatangkan masalah kerana jalan ini tidak berstatus dan terlalu sukar untuk diperbaiki kerana jalan seumpama ini tidak didaftarkan oleh pejabat daerah masing-masing kepada Kementerian Kerja Raya Sabah. Bagaimanapun, ianya tetap mendapat perhatian umum untuk ditular di media sosial dan menyalahkan Jabatan dan Menteri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan warga net berhubung isu keadaan jalan raya di pelbagai daerah di negeri ini yang dipaparkan di media sosial serta tular sejak beberapa hari lalu.

Bung berkata, warga net tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kerana sebilangan daripada mereka tidak memahami keadaan yang sebenarnya sama ada jalanraya yang rosak tersebut dibawah bidang kuasa JKR atau agensi kerajaan yang lain yang bertanggungjawab memperbaikinya.

“Kita memahami rasa ketidakpuasan pengguna jalanraya terlibat. Bagaimanapun, sebelum ditular ianya perlu di teliti terlebih dahulu isu yang dibangkitkan tanpa sebarang perasaan prejudis kepada Kerajaan, jabatan atau pemimpin berkaitan,” katanya.

Menurut Bung, jika kerosakan jalanraya yang ditular di media cetak atau media sosial sememangnya di bawah tanggungjawab JKR, jabatan telah menyediakan Aplikasi Aduan kepada pengguna dan JKR akan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya atau jika jalanraya tersebut dalam tanggungjawab konsesi yang dilantik, jabatan akan mengarahkan mereka untuk memperbaikinya segera,” jelas Bung.

Dalam perkembangan yang sama, Bung berkata, empat kategori jalan iaitu Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah dan Jalan Luar Bandar memang mendapat peruntukan sama ada dari Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan sumber-sumber lain namun ia tidak mencukupi.

“JKR, Kementerian Luar Bandar dan Kerajaan Negeri Sabah mengeluarkan peruntukan untuk empat kategori jalan terbabit tetapi tidak mencukupi untuk dibelanjakan kepada semua jalan raya yang rosak atau yang memerlukan naik taraf kerana peruntukan terhad,” katanya.

Sehubungan itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berharap, orang ramai dapat memahami situasi yang dihadapi Kerajaan dalam usaha menaik taraf jalan-jalan raya di negeri ini.

“Jadi kepada sesiapa yang tidak faham mengenai perkara ini diharap dapat maklum dengan keadaan yang berlaku.

Antara keluhan daripada warga net berhubung keadaan jalan raya di Sabah.

“Selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam infrastruktur asas di negeri ini, saya telah berusaha dengan apa cara sekali pun untuk mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki, menaik taraf dan memastikan jalan-jalan raya di Sabah dapat diurus dengan sebaik mungkin dan isu ini juga selalu saya bangkitkan semasa persidangan di Dewan Rakyat,

“Namun hasrat saya terbantut disebabkan faktor-faktor kewangan dan faktor lain.Saya harap dengan penjelasan ini semua pihak perlu memahami keadaan sebenarnya,” katanya.

Sebelum itu, dalam hantaran beliau di Facebook turut disertakan tangkap layar keluhan warga net di Sabah yang memaparkan keadaan jalan raya di negeri ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *