5 Ditahan Bergaduh Di Pekarangan Balai Polis Luyang

KOTA KINABALU: Lima lelaki yang dilaporkan bergaduh di pekarangan Balai Polis Luyang, di sini, kelmarin, ditahan polis.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, semua lelaki berusia 26 hingga 32 tahun terbabit membuat kecoh selepas mangsa dikatakan menemani isteri kepada salah seorang penyerang membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki terbabit dikatakan berlari meluru masuk ke kawasan balai polis selepas dikejar oleh beberapa orang lelaki.

Katanya, lelaki itu kemudiannya dibelasah sehingga pasukan polis bertugas terpaksa meleraikan pergaduhan dan terus bertindak menangkap semua individu terbabit.

“Hasil siasatan awal, kejadian berpunca daripada lelaki yang dibelasah dikatakan menemani seorang wanita membuat laporan polis selepas didakwa dihalau suaminya.

“Semua lelaki terbabit tidak akur dengan nasihat dan teguran pasukan polis dan terus membuat kekacauan dan bergaduh di kawasan balai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, bagi mengawal keselamatan, pasukan polis terus bertindak menahan semua lelaki terbabit atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *