Warga Indonesia Dipenjara 23 Tahun & 12 Sebatan Kerana Merogol, Tiada Dokumen

Tion Amat (kanan) dihukum penjara 23 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan rogol.

TAWAU: Lelaki warga Indonesia dihukum penjara 19 tahun dan tujuh sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita yang sedang berbasikal, pertengahan bulan ini.

Selain itu, tertuduh Tion Amat, 26, yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) turut dipenjara empat tahun dan lima sebatan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri.

Pengakuan berkenaan dibuat tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 21 tahun iaitu meletakkannya dalam ketakutan kecederaan dengan cara mengacukan pisau di lehernya.

Kesalahan didakwa dilakukan di dalam lot kelapa sawit Ladang Kumansih Kalabakan, di sini, 6.45 pagi pada 17 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(b)Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Awang Kerisnada ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, mahkamah wajar menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh yang melakukan perbuatan terkutuk dan keji, malah mengancam nyawa mangsa menggunakan senjata.

Selain itu katanya, mahkamah juga mengambil kira trauma yang dilalui mangsa yang masih muda selain faktor keselamatan dan kepentingan awam.

“Tertuduh didapati melakukan jenayah rogol tanpa kerelaan mangsa serta laporan perubatan oleh doktor pakar mendapati terdapat koyakan pada kemaluan mangsa,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berbasikal berseorangan di jalan utama Kalabakan-Merotai (antara Bukit Tukok dan Ladang Kumansih) diheret dan diancam menggunakan pisau sebelum dirogol secara paksa oleh tertuduh.

Tertuduh dikatakan turut mengeluarkan kata-kata ugutan selain menggunakan pisau untuk mengoyakkan seluar mangsa sebelum bertindak merogolnya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam turut berdepan hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana, memohon kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan.

Hakim kemudian membenarkan permohonan itu dan memerintahkan hukuman terhadap tertuduh berjalan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh sabitan kes. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *