AirAsia Sedia Terbang Lebih Kerap Ke Sabah

AIRASIA sedia terbang ke Sabah dengan protokol kesihatan dan penerbangan yang ketat. – Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: AirAsia menawarkan harga serendah RM13 sehala bagi mereka yang membuat tempahan penerbangan antara Sabah dan Sarawak bermula 1 November sehingga 7 November 2021.

Syarikat penerbangan itu turut menyediakan tawaran RM99 sehala bagi orang ramai yang ingin ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dari mana-mana bandar termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk tempahan pada tarikh sama.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, bukan sahaja rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dengan kekerapan penerbangan yang lebih tinggi untuk pulang ke kampung halaman mereka, malah ramai pelancong dapat menerokai Sabah yang kaya dengan alam semula jadi, juadah enak dan rakyat yang peramah.

“Kami bersedia untuk kembali memulakan perjalanan ke Sabah dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat untuk menjaga kesejahteraan para tetamu dan kakitangan kami.

“AirAsia akan mengendalikan hampir 300 penerbangan mingguan mulai 1 November, menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah dengan Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, menandakan peningkatan sebanyak 75 peratus daripada lebih 170 penerbangan mingguan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, AirAsia adalah pemain jangka panjang dalam industri pelancongan Sabah dan berharap dapat terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, Lembaga Pelancongan Sabah dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk memastikan standard pematuhan tertinggi bagi setiap penerbangan yang dikendalikan.

Beliau berkata, pelancongan adalah penyumbang ekonomi ketiga terbesar di Sabah selepas sektor pertanian dan pembuatan, serta menyediakan lebih 80,000 pekerjaan di negeri ini.

Penerbangan itu sedia ditempah di airasia Super App sekarang dengan menekan ikon ‘Flights’ untuk tempoh perjalanan bermula 8 November 2021 sehingga 29 Oktober 2022.  – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *