Tiada Kematian Akibat Vaksin Covid-19, Kata Timbalan Menteri

Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR: Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan tiada individu disahkan meninggal dunia akibat vaksinasi, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang.

Maklumat ini didapati melalui penilaian yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kesan pemberian vaksin Covid-19, katanya.

“Daripada jumlah kes serius yang diterima setakat ini, terdapat 519 laporan merekodkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

“Selepas penilaian dijalankan, tiada kes kematian didapati boleh dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang diberikan setakat ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.

Mohd Redzuan Md Yusof (PN-Alor Gajah) meminta KKM menjelaskan langkah-langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan vaksin bersesuaian dengan penerima dan bentuk pampasan yang diberikan jika terdapat kesan sampingan.

Dagang berkata, sehingga kini belum ada permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 diluluskan kepada penerima vaksin yang mendakwa mengalami kesan sampingan serius atau kematian akibat menerima vaksin.

Katanya, KKM menerima 22,132 laporan kesan sampingan melalui sistem pelaporan sedia ada, iaitu bersamaan dengan 0.45 laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.

“Daripada jumlah itu, 1,483 laporan atau 0.03 bagi setiap 1,000 dos dikategorikan sebagai serius, dengan penerima vaksin menerima rawatan di hospital bagi pemantauan dan rawatan lanjut selama beberapa hari,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *