Naikkan i-Citra Daripada RM5,000 Ke RM10,000, Ramai Lagi Masih Terkesan

Najib Razak berkata, pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 mungkin akan jadi pengeluaran khas terakhir yang dibenarkan KWSP dalam membantu golongan terkesan.

KUALA LUMPUR: Najib Razak berharap kerajaan dapat mempertimbangkan menaikkan had pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada RM5,000 kepada RM10,000 kerana masih ramai yang terjejas dan terkesan akibat Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat Malaysia yang terjejas umumnya mahu menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang dan memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Dua hari lepas dan semalam, saya berkesempatan berjalan-jalan di Melaka. Seperti biasa saya berkongsi gambar-gambar aktiviti saya di akaun media sosial saya.

“Walau bagaimanapun, agak menghairankan apabila boleh dikatakan hampir sebahagian besar komen-komen daripada followers Facebook saya membangkitkan soal i-Citra yang tidak disentuh semasa pembentangan Bajet 2022.

“Saya dapati ramai yang bersuara dan mendesak, sebenarnya mereka mempunyai tunggakan yang perlu dijelaskan atau pun berniat untuk mengumpul modal untuk memulakan perniagaan kecil mereka. Mereka bukan sukaa-suka nak keluarkan caruman mereka,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Belanjawan 2022.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, diharapkan pengeluaran i-Citra RM10,000 adalah skim pengeluaran khas terakhir kerana ia sangat dituntut rakyat.

Katanya, langkah itu tidak boleh disifatkan sebagai langkah populis, tetapi ia adalah disebabkan keperluan mendesak rakyat. Katanya, bagi mengimbangi pengeluaran itu, beberapa perkara boleh dilakukan kerajaan untuk membantu KWSP.

“Kerajaan perlu memberi keutamaan untuk memulihkan simpanan rakyat dalam KWSP. Seperti yang saya pernah bangkitkan dalam perbahasan bajet tahun lepas, ini boleh dilakukan.

“Kerajaan boleh bantu KWSP meraih pendapatan lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP, contohnya sebelum ini, projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek di United Kingdom serta pemilikan 49% di dalam syarikat PLUS,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *