Deepavali: Sabah Agih 1,100 Bakul Makanan Kepada Masyarakat India

KOTA KINABALU, 1 Nov : Sebanyak 1,100 bakul makanan akan diagihkan kepada  masyarakat India di Sabah bagi membantu meringankan beban mereka akibat COVID-19 di samping sebagai persiapan merayakan sambutan Deepavali pada Khamis ini. 

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata sumbangan itu diharap akan memberi sinar kegembiraan kepada keluarga yang menerima sumbangan menjelang perayaan Deepavali.

Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat kumpulan B40 bagi membantu meringankan sara hidup mereka.

“Bantuan bakul makanan kepada rakyat golongan B40 termasuklah masyarakat India membuktikan  keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata semangat Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman,  kebersamaan dan kesyukuran turut diterjemahkan melalui sumbangan berkenaan.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua masyarakat India di Sabah khasnya dan di seluruh negara amnya. 

“Walaupun dalam suasana yang sederhana dan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa, kita masih berpeluang sama-sama meraikan perayaan ini melalui semangat kebersamaan dan kesyukuran sebagai tanda bahawa kita adalah Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *