Bagai ‘Belanjawan Keluarga Tiri’, Peruntukan Bajet 2022 Untuk Sabah Sangat Kecil, Kata MP Warisan

Sumbangan Sabah kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Nasional pada 2020 adalah 10.2% daripada jumlah besar KDNK Nasional berjumlah RM1.34 trilion, kata Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majlis.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah mendakwa Sabah menerima peruntukan yang sangat kecil dalam Bajet 2022 berbanding ratusan billion ringgit nilai hasil yang dikaut dari bumi negeri itu.

Katanya, sumbangan Sabah kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Nasional pada tahun 2020 adalah 10.2% daripada jumlah besar KDNK Nasional berjumlah RM1.34 trilion.

“Intipati Belanjawan 2022 atas dasar Keluarga Malaysia bukanlah cerminan kepada apa yang dibentang hari Jumaat lepas.

“Dalam konteks Sabah ia tidak lebih dari Belanjawan Keluarga Tiri Malaysia. Mana mungkin keluarga memberi hanya RM5.2 billion atau sekadar 6.8% daripada jumlah peruntukan pembangunan sedangkan setiap tahun nilai hasil yang dikaut dari bumi Sabah adalah ratusan billion.

“Sumbangan Sabah kepada KDNK Nasional pada tahun 2020 adalah 10.2% daripada jumlah besar KDNK Nasional berjumlah RM1.34 trilion. Ini bermaksud, Sabah telah menyumbang sebanyak RM136 bilion ringgit kepada negara,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Munirah yang juga wakil Warisan berkata, Perkara 112D, Jadual Ke-10, Bahagian IV (1) dalam hal Sabah, pemberian yang amaunnya sama banyak dalam setiap tahun.

Katanya, dua perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah itu melebihi hasil bersih yang akan didapati sedemikian oleh Persekutuan dalam 1963 jika Akta Malaysia telah berkuat kuasa dalam tahun itu seperti dalam 1964, dan hasil bersih bagi 1963 dihitung tanpa mengambil kira apa-apa perubahan mengenai apa-apa cukai atau fi yang dibuat pada atau selepas Hari Malaysia.

“‘Hasil bersih’ bagi maksud ini, hasil yang terakru kepada Persekutuan, ditolak amaun yang diterima oleh Negeri berkenaan dengan penyerahhakkan hasil itu.

“Jadi menurut kiraan matematik saya, kalau Sabah seharusnya menerima 2/5 daripada hasil Sabah ke Persekutuan, maka Sabah sepatutnya diperuntukkan sejumlah RM54 bilion pada 2021 iaitu tahun berikutnya.

“Peruntukan yang tersangat kecil ini tidak sepadan dengan apa yang Sabah sumbangkan dan menidakkan pembangunan terutama dalam bentuk infrastruktur.

“Keadaan ini memperlihatkan dua bahagian Malaysia, yang maju dan yang mundur, sehingga terma di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kadang-kadang ada ketersasulan.

“Kalau terma ini diselami, ia amat menyakitkan hati kami orang Borneo seolah-olah kami bukan sebahagian dari keluarga yang didendangkan. Apakah sebab itu Sabah Sarawak seakan diabaikan?” soalnya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *