
KUALA LUMPUR:Kaum Melayu dan bumiputera adalah pencarum paling ramai mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 berbanding pencarum berbangsa lain.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein berkata, nisbah pencarum Melayu mewakili 74 peratus daripada 5.9 juta pencarum yang baki simpanan kurang RM10,000.
Menurut beliau, bagi penca-rum KWSP berbangsa Cina, sebanyak 13 peratus memiliki baki simpanan kurang RM10,000, manakala pencarum India pula sebanyak tujuh peratus.
Daripada angka tersebut, beliau menjelaskan secara keseluruhan, 46 peratus daripada ahli KWSP, iaitu seramai 5.9 juta pencarum memiliki baki simpanan kurang RM10,000 setakat 30 September lalu.
“Ini menunjukkan simpanan persaraan ahli tidak cukup sekiranya mereka tiada simpanan atau sumber pendapatan lain, majoriti ahli berkenaan tidak mampu membiayai sara hidup pada usia tua.
“Berbanding dengan situasi 20-30 tahun dahulu, profil keluarga pada masa kini juga menunjukkan saiz yang kecil dengan bilangan anak yang tidak ramai. Bagi keluarga yang mempunyai anak yang tidak ramai, beban untuk menjaga ibu bapa mereka pada usia tua akan bertambah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menjelaskan lanjut, Nurhisham berkata, senario membimbangkan itu dikhuatiri menjejaskan kemampuan fiskal kerajaan pada masa akan datang, susulan terpaksa membiayai program-program bantuan kepada warga emas kerana Malaysia semakin menghampiri status negara tua menjelang 2030.
“Ini kerana kerajaan perlu membiayai bilangan warga emas yang lebih ramai dan hidup pula lebih panjang, apabila peratusan rakyat yang berumur 60 tahun dan ke atas dijangkakan berjumlah 15 peratus daripada keseluruhan penduduk ketika itu,” katanya.
Katanya, sejak KWSP memperkenalkan program-program pengeluaran wang caruman bagi membantu pencarum yang terjejas akibat pandemik, sejumlah RM101.01 bilion telah dikeluarkan, termasuk bagi program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Justeru, katanya, susulan caruman lebih rendah bagi 2020, KWSP telah menyesuaikan diri dengan keperluan semasa bagi memastikan pelaburannya dapat memberikan pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baharu.
“Tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum. Pada tahun 2020, KWSP telah mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 billion.
“Untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 pula, KWSP telah mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25 peratus, berbanding RM27.26 billion bagi tempoh yang sama pada 2020,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun rata-rata individu yang mengeluarkan wang simpanan daripada akaun KWSP menggunakannya untuk tujuan memenuhi keperluan asas seperti membayar hutang, membiayai pendidikan dan sebagainya, namun terdapat segelintir yang mengaku mengeluarkan wang simpanan untuk membeli barangan mewah.
“Antara faktor yang mendorong ahli membuat pengeluaran adalah kerana keperluan sama ada untuk membiayai pendidikan, perumahan, kesihatan dan sebagainya. Daripada jumlah keseluruhan yang membuat pengeluaran, enam peratus menggunakannya sebagai dana kecemasan, dua peratus untuk modal perniagaan, sementara satu peratus untuk pembelian barangan mewah,” katanya.
Justeru, susulan pandemik yang menjejaskan ekonomi dan sektor pekerjaan negara, Nurhisham menasihatkan orang ramai meningkatkan pengetahuan dalam aspek kewangan khususnya bagi merancang perbelanjaan dan simpanan.
“KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk ahli menambah simpanan persaraan mereka. Selain caruman berkanun KWSP ke atas upah yang wajib dicarumkan oleh pekerja dan majikan, KWSP juga telah memperkenalkan program-program caruman sukarela yang terbuka kepada pekerja sektor formal, pekerja sektor tidak formal termasuk pekerja gig dan orang bekerja sendiri dan ahli KWSP yang tidak bekerja seperti pelajar dan suri rumah,” katanya. – MINGGUAN
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost