‘Orang Islam, Kristian Atau Sesiapa Saja, Semua Kami Tolong’ – Atu Zero

Atu Zero

KUALA LUMPUR: Perkongsian pelakon dan pelawak Atu Zero, 29, yang menyediakan khidmat membawa jenazah secara percuma di Kudat, Sabah untuk orang bukan Islam menarik perhatian dan mendapat pujian ramai.

Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif berkata, sejak awal lagi niat dia mewujudkan perkhidmatan dikendalikan Kura-Kura Brotherhood itu adalah untuk memudahkan sesiapa saja tanpa memilih agama.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir perkhidmatan itu khusus untuk orang Islam saja. Sesiapa pun boleh menggunakannya dan tugas saya adalah mempromosikan mengenai bantuan itu dari semasa ke semasa.

“Sebaliknya, kredit harus diberikan kepada Imam Mujahir dari Kura-Kura Brotherhood yang menguruskan semuanya di Sabah.

“Kebetulan, ada orang bukan Islam meninggal dunia dan menghubunginya. Bantuan diberi tanpa memilih agama kerana misi utama kami adalah untuk memudahkan sesiapa saja sesama manusia,” katanya.

Menurut Atu, perkhidmatan itu juga bukan untuk membawa jenazah saja, sebaliknya terbuka dengan segala jenis pertolongan membabitkan pengangkutan di sana.

“Setiap hantaran yang kami kongsi mengenai perkhidmatan itu adalah untuk memberitahu apa kami lakukan hasil daripada derma yang diterima. Kami gunakan dana itu dengan jalan yang betul.

“Sebenarnya kerja dilakukan Kura-Kura Brotherhood memang banyak. Hari-hari ada aktiviti bantuan mereka lakukan dan bukan sekadar membawa jenazah. Mereka juga menawarkan perkhidmatan mengangkut atau menghantar barangan. Contohnya mengangkut peralatan zink rumah dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Atu berkongsi hantaran mereka membantu membawa jasad penganut Kristian di Instagram berserta tulisan, ‘Saudara-saudaraku, kita semua sama’. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *