Sabah Laksana Pemberian Dos Penggalak Bermula Khamis

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 28 Okt : Kerajaan Sabah mula melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas bermula hari ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau berkata Sabah sebelum ini telah memulakan pemberian dos penggalak ini kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan bermula dari 20 Okt lepas. 

“Tujuannya adalah supaya penerima vaksin boleh mendapatkan tahap perlindungan yang optimum terhadap jangkitan COVID-19.

“Individu yang layak menerima dos penggalak adalah individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Comirnaty (Pfizer) sekurang-kurangnya enam bulan dari dos kedua dan CoronaVac (Sinovac) sekurang-kurangnya tiga bulan dari dos kedua,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemberian dos penggalak adalah percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan individu yang ingin mendapatkan dos penggalak boleh datang secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, Shahelmey menyeru kepada semua individu yang berumur 60 tahun ke atas dan layak menerima dos penggalak untuk tampil mendapatkan suntikan berkenaan dengan segera bagi mengoptimumkan tahap perlindungan diri mereka, keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata sehingga Selasa lepas (26 Okt), sebanyak 76.6 peratus dewasa negeri itu telah menerima dos pertama vaksin itu manakala 72.5 peratus golongan sama telah melengkapkan dos vaksin tersebut.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *