PPS Boleh Beri Pinjaman Perumahan Kepada Penjawat Awam Negeri, Kata Hajiji

Hajiji Noor berkata Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) adalah agensi kerajaan negeri yang mantap dan perlu dicontohi oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah.

PENAMPANG: Kerajaan negeri kini memberi kebenaran kepada Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) untuk memberi pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri itu, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Katanya, kebenaran itu akan memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri.

“Dengan kebenaran ini, kerajaan memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri sama ada membeli atau membina rumah. Justeru, saya berharap PPS akan terus maju sebagai satu agensi kerajaan yang dibanggakan.

“Daripada taklimat yang diberikan oleh PPS, jelas perbadanan ini adalah agensi yang mantap dan perlu dicontohi oleh mana-mana agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini,” katanya sempena majlis penyerahan dividen, faedah dan zakat perniagaan PPS kepada kerajaan negeri di Wisma PPS.

Sementara itu, Hajiji juga meminta semua GLC di negeri ini menghasilkan keuntungan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta rakyat.

“Saya mahu kepada GLC lain yang mahu terus mencapai perkhidmatan yang terbaik agar dapat merombak atau menyusun semula pentadbiran mereka untuk menjadi GLC yang boleh dibanggakan seperti mana harapan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, sempena majlis itu, kerajaan Sabah menerima dividen RM17.5 juta daripada PPS selain RM576,421.44 sebagai pembayaran faedah bagi 2020.

Selain itu, PPS turut membayar zakat perniagaan berjumlah RM263,690.55, bagi tempoh sama. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *