Penunggang Motosikal Maut Rempuh MPV Di Putatan

PENAMPANG: Akibat gagal memberhentikan motosikal bagi memberi laluan kepada kenderaan membuat pusingan-U, seorang penunggang motosikal maut, di sini kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Putatan pada 10 pagi itu, remaja lelaki berusia 22 tahun itu maut akibat merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang membuat pusingan-U.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, akibat rempuhan yang berlaku penunggang motosikal mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi kelmarin.

“Siasatan mendapati, pemandu kenderaan MPV datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar dan membuat pusingan-U berhampiran gedung perabot Rustica Putatan.

“Kenderaan itu dirempuh oleh penunggang motosikal dari arah bertentangan iaitu dari Jalan Putatan menuju ke Kota Kinabalu.

“Akibat rempuhan, penunggang motosikal tersebut mengalami cedera parah pada bahagian kaki dan muka lalu dihantar ke HQE sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu MPV yang merupakan seorang lelaki berusia 59 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa masih berada di Unit Forensik HQE untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *