Tiket Sabah FC Menentang JDT Mula Dijual

KOTA KINABALU: Seramai 6,348 penyokong dibenarkan masuk ke Stadium Likas bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 antara Sabah FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 29 Oktober depan.

Jumlah penonton yang dibenarkan itu adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengikut fasa ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata, tiket akan dijual kepada orang awam bermula jam 6.30 petang Sabtu (hari ini) secara atas talian.

Katanya, harga bagi tiket tempat duduk terbuka bagi Zon A dan D ialah RM18 dan RM22 bagi Zon B dan C, manakala harga tiket untuk grandstand RM35.

“Apa yang penting, hanya penyokong atau penonton yang sudah lengkap divaksinasi melebihi 14 hari dibenarkan masuk ke stadium.

“Selain itu, penonton juga wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Shamsuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi SAFA berkata, kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan masuk di stadium mengikut kepada SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, garis panduan itu penting bagi memastikan semua pihak bersama-sama menjaga SOP bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, tiket boleh dibeli secara atas talian menerusi https://ticket.tickethotline.com.my/home.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, penonton juga dinasihatkan supaya mengehadkan pergerakan dan sentiasa duduk ditempat duduk masing-masing sepanjang masa mengikut penjarakan sosial.

“Penonton juga dilarang berhimpun atau menunggu pemain di luar perkarangan stadium dan digalakkan meninggalkan stadium serta-merta dengan bersistematik sejurus tamat perlawanan.

“Penonton juga digalakkan masuk ke dalam stadium seawal jam 6.30 petang bagi mengelakkan kesesakan di pintu masuk,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *