Jeffrey Ajak PBS, PBRS & UPKO Jadi Rakan Sekutu STAR

Jeffrey Kitingan mengajak parti politik dan NGO untuk menjadi rakan sekutu STAR.

KOTA KINABALU: Presiden STAR Jeffrey Kitingan mengajak parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah bergabung dengan parti itu untuk bersama menuntut hak perlembagaan dalam Persekutuan Malaysia demi rakyat dan negeri itu.

Katanya, perjuangan menuntut hak perlembagaan kian menampakkan hasil namun kesatuan politik di negeri berkenaan masih diperlukan untuk memperoleh agihan kewangan mengikut hak perlembagaan.

“STAR merupakan suatu parti gabungan yang memberi ruang kepada parti-parti politik dan NGO menjadi ahli sekutu demi menuntut hak dan agihan kewangan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Sabah amat memerlukan kekuatan politik untuk memperbetulkan tafsiran kedudukan Sabah dan Sarawak mengikut Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dari tafsiran berasaskan Persekutuan Malaya 1957 kepada tafsiran berdasarkan Proklamasi Malaysia 16 Sep 1963 dan Perenggan 10 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika sesi penggulungan perbahasan ucapan dasar presiden sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Kedua parti itu, baru-baru ini.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan turut mengajak parti seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan UPKO untuk menjadi ahli bersekutu STAR demi memperbetulkan tafsiran Artikel 160(2) dan 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harus menuntut apa yang menjadi hak rakyat dan negeri Sabah, kita harus mendapat agihan kewangan pembangunan mengikut tujuan kita membentuk Persekutuan Malaysia.

“Jika hak-hak tersebut tidak dituntut, maka selama-lamanya kita akan jadi “peminta-minta” kepada Malaya, kita akan menjadi hamba Malaya selama-lamanya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *