‘Mamat Pengsan, Meninggal Dunia Dalam Ambulans’

Allaharyam Mamat Khalid rebah di kafenya di Sarat Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor, Mamat Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, jam 12.30 tengah malam ini.

Mengesahkan berita pemergiannya, isterinya, Hasmah Hassan memaklumkan, arwah dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di Sarang Art Hub.

“Hari ini, Sarang Art Hub ada persembahan dari kumpulan Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 3 Orang Asli. Arwah suka melayan tetamu, jadi ikut serta membuat persembahan dengan bermain keyboard.

“Secara tiba-tiba, arwah tidak sedarkan diri dan tergigit lidah hingga berdarah ketika sedang buat persembahan.

“Saya percaya arwah kepenatan dan tidak cukup tidur disebabkan baru balik membuat tinjauan lokasi penggambaran di Lumut.

“Bagaimanapun, arwah disahkan meninggal dunia dalam ambulans ketika perjalanan ke Hospital Slim River,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Hasmah berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berada dalam keadaan sihat.

“Saya tak sangka arwah akan pergi kerana keadaannya baik-baik sahaja. Semuanya seperti biasa.

“Arwah pergi dengan mudah. Abang Mamat sudah tiada,” luahnya dalam nada sebak.

Hasmah berkata, jenazah arwah akan disemadikan di Ipoh, pagi ini.

“Selepas semua urusan selesai, jenazah akan di bawa ke Ipoh untuk dikebumikan. Abangnya, Datuk Lat mohon supaya pengebumian arwah dipercepatkan,” katanya.

Allahyarham Mamat meninggalkan seorang balu dan lima orang cahaya mata.

Beliau memulakan kerjaya awal di pejabat kerajaan, sebelum menceburi bidang perfileman dengan mengarahkan filem komedi pertama berjudul Lang Buana.

Antara filem sentuhannya termasuklah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang turut meraih kutipan pecah panggung.

Sepanjang hayat, arwah pernah memenangi trofi Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang, Estet dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Selain aktif dalam bidang perfileman, arwah juga pengasas dan pemilik kafe, Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *