Kumpulan Aktivis Sabah Kecewa, Gagal Serah Memorandum Gesa Bincang Isu Sulu

Kumpulan terbabit pada mulanya berkumpul di luar pagar sebelum dibenarkan berarak ke kawasan parkir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

KOTA KINABALU: Usaha lebih 60 individu berkumpul di luar pagar Dewan Undangan Negeri (DUN) semata-mata untuk menyerahkan memorandum menggesa isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan, gagal selepas tiada wakil daripada pejabat DUN tampil menyantuni mereka.

Kumpulan itu mahu isu tuntutan berkenaan dibahaskan dalam persidangan di DUN dan Parlimen.

Difahamkan, memorandum terbabit mengandungi 10 perkara termasuk bagi menggesa Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya membenarkan perbahasan mengenai isu itu.

Kumpulan dikatakan daripada Solidariti Anak Sabah mula berkumpul kira-kira 10.50 pagi tadi, di kawasan sekatan jalan raya yang diselia polis sebelum dibenarkan berarak ke kawasan tempat letak kereta, di luar bangunan DUN sejauh, kira-kira 60m.

Sementara itu, wakil kumpulan Ismail Ayub berkata, pihaknya tidak berputus asa dan mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran.

Katanya, kumpulan berkenaan juga akan membuat petisyen supaya memorandum terbabit diterima dan isu dapat dibahas di peringkat Parlimen serta DUN.

“Isu tuntutan terhadap Sabah banyak membabitkan isu keselamatan dan pencerobohan yang mendapat perhatian pihak antarabangsa. Pihak dewan perlu membahaskan isu ini kerana ia berkaitan dengan rakyat Sabah, selain berhubung kait dengan kedaulatan sempadan negeri Sabah.

“Rakyat juga perlu mengetahui perkembangan semasa berkenaan isu ini dan ianya perlu dibincangkan segera,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *