Dua Jaringan Park Tae-Su Julang Sabah Bangkit Tewaskan Terengganu Di Likas

Gambar Malaysian Football League

KOTA KINABALU : Pemain import Sabah FC dari Korea Selatan, Park Tae-su muncul wira skuad The Rhinos apabila menjaringkan dua gol menerusi tandukan untuk menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Kedua-dua gol Park dijaringkan pada minit ke-71 dan ke-78, dengan memanfaatkan peluang menerusi tendangan sudut dan sepakan percuma ketua pasukan Sabah, Baddrol Bakhtiar.

Sabah sebelum itu dikejutkan pasukan pelawat apabila ketinggalan 0-1 pada minit tambahan separuh masa pertama menerusi gol pemain import TFC dari Jerman, Manuel Gelito Ott yang mendapat hantaran bola ketika keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Sabah yang gagal diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol itu sekali gus membolehkan TFC mendahului 1-0 selepas tamat aksi babak pertama.

Bersambung babak kedua, Sabah FC berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-71 menerusi tandukan jarak dekat Park Tae-su yang menyambut bola dari sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Tujuh minit selepas itu, Park sekali lagi menceriakan penyokong Sabah FC apabila tandukannya dari sepakan percuma yang diambil Baddrol menerjah jaring TFC untuk Sabah FC mendahului 2-1.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan ini, Sabah FC kekal di tangga kedua Liga Super dengan 25 mata, 1 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Manakala Terengganu di tangga ke 5 dengan 16 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *