Sukar Untuk Warisan Tembusi Semenanjung, Kata Penganalisis

Penganalisis percaya Warisan tidak mempunyai harapan untuk mencabar parti-parti dalam Barisan Nasional , Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

KOTA KINABALU: Dua penganalisis menyuarakan keraguan sama ada kehadiran Warisan di Semenanjung akan memberi sebarang kesan selepas ia merancang untuk melebarkan sayapnya ke sana.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, agak sukar untuk bersaing dengan parti-parti lain yang telah lama bertapak dan menikmati penerimaan rakyat.

Menerusi aplikasi Zoom sempena sambutan hari jadinya pada Selasa lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal memberitahu media bahawa parti itu akan meneruskan rancangannya untuk beralih ke platform nasional dan akan mengambil pendekatan berbilang bangsa dalam dasarnya.

Katanya, Warisan juga akan memastikan nilai Islam sentiasa ditegakkan selain menjangkakan penyertaan daripada pengundi muda yang lebih berani berdepan perubahan.

Lee Kuok Tiung.

Kata Lee, beliau percaya Warisan tidak mempunyai harapan untuk mencabar parti-parti dalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, “amat mencabar” bagi Warisan untuk menembusi platform nasional terutama apabila PH juga memiliki sokongan yang cukup besar daripada rakyat di Semenanjung.

“Sama ada ia mempunyai kelebihan untuk bertanding di Semenanjung adalah soal lain tetapi yang pasti ia akan dilihat sebagai orang luar.”

Wujud cakap-cakap bahawa Warisan akan bekerjasama dengan Muda untuk mendapatkan sokongan pengundi muda, namun Lee meragui ia akan berjaya kerana setakat ini Muda masih tidak menunjukkan bukti kebolehannya.

Awang Azman Pawi.

“Saya percaya antara sebab utama Warisan ingin melebarkan sayap ke Semenanjung ialah kerana terdapat ramai pengundi Sabah di sana tetapi ia perlu dikaji dengan teliti untuk melihat sama ada mereka telah menukar kawasan tempat mengundi atau masih mengundi di negeri asal,” katanya kepada FMT.

Manakala itu Awang Azman pula berkata, Warisan perlu sedar bahawa rakyat di Semenanjung mempunyai terlalu banyak pilihan dan mereka akan dilihat sebagai parti yang berpusat di Sabah dan hanya memperjuangkan isu-isu negeri.

Katanya, Warisan boleh dilihat sebagai parti yang tidak mempunyai kewibawaan untuk bertanding di sana memandangkan di wilayahnya sendiri pun mereka telah ditolak selepas beberapa wakil rakyatnya berpaling tadah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *