Loji Rawatan Air Kedua Pitas Dijangka Siap November 2022 – Mahdzir

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika melakukan lawatan loji rawatan air Ke-2 Pitas dan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kampung Tanjung Batu Pitas. – Foto BERNAMA

KOTA MARUDU, 18 Okt : Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kedua Pitas bernilai RM37.8 juta dijangka siap pada November tahun depan yang akan memberi manfaat kepada penduduk di 30 kampung di daerah ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata loji rawatan air berkapasiti 10 Juta Liter Sehari (JLH) itu dilihat mampu menyelesaikan masalah penduduk kampung yang selama ini belum memperoleh bekalan air bersih.

Beliau berkata loji rawatan air yang kini sedang dalam pembinaan itu adalah tambahan kepada loji rawatan air sedia ada yang hanya berkapasiti 4 JLH dan ia merupakan projek fasa pertama bagi menyediakan kemudahan air bersih kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Dengan pertambahan (loji rawatan air pertama dan kedua), jadi sekarang (Pitas) sudah ada 14 JLH (bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk). Tetapi, saya tahu ada lagi kawasan kampung belum dapat (kemudahan bekalan air bersih). 

“Justeru, (loji rawatan air) perlu ditambah sekurang-kurangnya 10 JLH lagi di masa depan. Projek loji rawatan air kedua Pitas fasa pertama ini akan siap pada 2022 dan ada lagi fasa dua dan fasa tiga (bagi memenuhi keperluan bekalan air bersih penduduk),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bina Baru di Kampung Tanjung Batu, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir meninjau tapak pembinaan LRA Kedua Pitas dan mendengar taklimat ringkas berkaitan Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Jalan Luar Bandar Pitas yang merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Sabah.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya negeri. 

Sementara itu, Mahdzir mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi memperkasa peranan antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menyelesaikan isu bekalan air di kawasan luar bandar.

“Ini termasuk menaik taraf infrastruktur bekalan air luar bandar meliputi loji rawatan air dan sistem agihan serta perpaipan lama.

“Ada peruntukan retikulasi di bawah KPLB tetapi ada juga di bawah tanggungjawab KASA. Justeru, perlu ada kolaborasi (antara kedua-dua kementerian) kerana matlamatnya adalah sama untuk membantu rakyat di luar bandar (mendapatkan bekalan air bersih),” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *