Pemandu Maut Tersepit Dalam Kenderaan Kemalangan Di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas tersepit di dalam kenderaan yang dipandunya selepas terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Seguntur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 40-an dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa masih tersepit di dalam kenderaan jenis Proton Saga yang terbalik di dalam parit.

“Operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 9.19 pagi,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *