ADUN Sindumin Nafi Tandangan Surat Letak Jawatan

Yusof Yacob mengumumkan keluar daripada Warisan pada 7 Okt dan menjadi ADUN bebas yang menyokong GRS.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Yusof Yacob menafikan beliau pernah menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ADUN seperti tular di media sosial beberapa hari lalu.

Yusof membuat penafian itu berhubung satu surat bertarikh 8 Okt yang didakwa ditandatanganinya sehari selepas keluar daripada Warisan dan menjadi ADUN bebas yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya difahamkan surat itu dihantar oleh peguam parti Warisan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) (Kadzim M Yahya),” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Justeru, beliau menyerahkan kepada Speaker DUN Sabah untuk membuat keputusan mengenai surat itu.

Kandungan surat itu menyatakan beliau tidak layak menjadi calon untuk ADUN Sabah selama lima tahun bermula tarikh surat berkenaan.

Malah, Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal sebelum ini menegaskan surat taat setia dan akuan bersumpah serta video ADUN Warisan masih ada dalam simpanan parti dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap Yusof.

Yusof adalah ADUN kedua daripada Warisan yang keluar parti itu. Pada 12 Feb lalu, ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar Warisan dan menyokong GRS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *