Sesi Persekolahan Di Sabah Dibuka Mulai 1 Nov – KPM

KPM telah menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan.

PUTRAJAYA: Institusi pendidikan di Kedah dan Kelantan akan mula beroperasi pada 31 Okt, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah bermula pada 1 Nov ini, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam satu kenyataan, KPM berkata pengoperasian Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan murid pra-sekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Tingkatan 6 Semester 2, Pra-universiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama penuh/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, KPM telah menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

“Sehubungan itu, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM bagi Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 2 pada 18 Okt.

“Apabila Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah beralih ke Fasa 3 pada 18 Okt, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 bagi Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Okt manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah bermula pada 1 Nov,” menurut kenyataan itu.

Bagi Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang turut beralih ke Fasa 4 esok, KPM berkata, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN akan bermula pada 1 Nov.

Menurut KPM, ini turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1,2, dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.

“Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4,5, dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri berkenaan akan bermula pada 8 Nov, seminggu selepas negeri ini memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan fasa 4 PPN,” menurut kenyataan.

KPM berkata, pengoperasian semula institusi pendidikan yang dinyatakan turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

“KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Pada 15 Okt, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, dan Sabah beralih ke Fasa 3 manakala Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 4 berkuatkuasa pada 18 Okt.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *