Kes Sporadik Di Sabah Semakin Meningkat, Kata Masidi

Kes sporadik biasanya berlaku kerana kelalaian tidak mematuhi SOP semasa bergaul atau berada di khalayak ramai, kata Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Peratusan kes sporadik Covid-19 di Sabah semakin meningkat iaitu hampir 39% daripada 639 kes keseluruhan yang dicatatkan hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, berkata adalah dikhuatiri peralihan negeri itu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini, yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi akan meningkatkan risiko jangkitan secara sporadik.

“Kes-kes sporadik biasanya berlaku kerana kelalaian tidak mematuhi SOP semasa bergaul atau berada di khalayak ramai.

“Adalah amat diharapkan keseluruhan masyarakat akan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP yang berkuat kuasa bagi mengelak jangkitan virus Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, menerusi pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke fasa tiga PPN, setiap individu kini bertanggungjawab sebagai benteng barisan hadapan dalam usaha membanteras virus Covid-19.

Masidi berkata, jumlah kes baharu didaftar, hari ini, menunjukkan penurunan sebanyak 81 kes berbanding 720 semalam.

Beliau berkata, daripada 639 kes baharu, sebanyak 350 atau 55% adalah kes berlaku dalam tempoh 24 jam lalu, manakala selebihnya kes lewat didaftar sekurang-kurangnya dua hari selepas keputusan saringan diketahui.

“Keberkesanan pengambilan vaksin dapat dilihat daripada kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari. Mereka yang telah divaksin (lengkap) memiliki imuniti yang lebih tinggi dan kalau pun dijangkiti hanya akan berada dalam kategori pesakit satu dan dua,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *