Terima Kasih Sokong GRS, Hajiji Beritahu Bekas ADUN Warisan

Hajiji Noor berkata, ia adalah hak demokratik ADUN Sindumin, Yusof Yacob untuk memilih berkhidmat melalui landasan atau parti politik yang diingininya.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor mengucapkan terima kasih kepada ADUN Sindumin, Yusof Yacob yang meninggalkan Warisan dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semalam, Yusof mengumumkan beliau meninggalkan parti pembangkang itu untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di peringkat persekutuan dan Hajiji di peringkat negeri.

“Ini adalah hak istimewa setiap ADUN dan ini juga merupakan hak demokrasi ahli politik memilih untuk berkhidmat, melalui landasan ataupun parti politik yang mereka inginkan.

“Kita juga berterima kasih kepada ADUN yang menyokong hala tuju kerajaan negeri Sabah ataupun GRS.

“Jadi dengan itu, kita boleh memberi fokus kepada perpaduan dan juga pembangunan rakyat negeri ini,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara peringkat Sabah di sini.

Yusof ialah ADUN Warisan yang kedua meninggalkan parti itu tahun ini, selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berbuat demikian pada 25 Feb lalu.

Perkembangan terbaharu ini menyebabkan Warisan kini hanya mempunyai 20 daripada 73 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta di bawah pakej rangsangan ekonomi kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah untuk membantu individu yang hilang sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi itu antara inisiatif diambil kerajaan dalam belanjawan negeri tahun ini untuk menangani cabaran yang belum pernah berlaku akibat pandemik.

“Untuk mengukuhkan pembangunan modal insan dan menghasilkan generasi yang kompeten dan berdaya tahan, kerajaan negeri memperuntukkan RM22.96 juta dalam belanjawan negeri 2021 bagi mengadakan kursus dan latihan kemahiran teknologi, teknikal serta perdagangan,” kata Hajiji dalam persidangan maya “Bridging the Skills Gap” anjuran MyProdigy Malaysia hari ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *