Vaksin Sinovac Selamat Untuk Kanak-Kanak & Remaja – Pharmaniaga

Kelulusan vaksin Sinovac untuk golongan berumur 12 tahun dan ke atas dibuat selepas mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 yang bersidang hari ini.

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Berhad memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa vaksin Covid-19 Sinovac bagi kanak-kanak dan remaja adalah selamat, dengan lebih 63 juta dos vaksin berkenaan sudah diberikan kepada rakyat China yang berusia antara 12 hingga 17 tahun sehingga kini.

Syarikat berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, analisis kesan imunisasi Adverse Events FollowingImmunisation (AEFI) terhadap 63 juta vaksinasi mencadangkan bahawa vaksin Sinovac memiliki profil keselamatan yang baik secara keseluruhannya dalam kalangan populasi kanak-kanak, dengan data yang dikumpul kebanyakannya merujuk kepada suntikan rutin di lapangan dengan simpton biasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan bahawa Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac Covid-19 bagi kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, pengarah urusan kumpulan Pharmaniaga Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, vaksin itu digunakan secara meluas dalam kalangan populasi muda berusia antara 12 hingga 17 tahun di China, dan sehingga kini tiada rekod mengenai sebarang maklumat risiko keselamatan mengenai AEFI berkaitan vaksinasi itu yang timbul.

Menurut kenyataan itu vaksin berkenaan boleh didapati di beberapa hospital serta klinik swasta terpilih tidak lama lagi, sebagai pilihan kepada ibu bapa, dan menambah simptom termasuk pening serta mual, merupakan keadaan biasa.

Menurutnya, vaksin Covid-19 Sinovac dibangunkan menggunakan virus tidak aktif, yang merupakan teknologi cukup maju melebihi 40 tahun, yang juga biasa digunakan dalam banyak jenis vaksin dalam pasaran, termasuk bagi penyakit polio, Hepatitis A dan rabies.

Jumaat lalu, Dr Noor Hisham berkata, vaksin Sinovac Covid-19 bagi remaja berusia 12 tahun dan ke atas adalah dibenarkan sebagaimana yang dipersetujui pada mesyuarat ke-36 DCA. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *