Sabah Kutip Cukai Jualan Produk Petroleum RM1.25 Bilion Setakat Ogos

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor. – Foto Facebook Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU, 29 Sept : Kerajaan negeri Sabah telah mengutip sejumlah RM1.25 bilion cukai jualan ke atas produk petroleum daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sejak cukai itu mula dikutip tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata ia meliputi RM177.88 juta pada 2020 dan RM1.07 bilion setakat Ogos bagi tahun ini.

Beliau berkata cukai jualan produk petroleum itu merupakan sebahagian daripada RM3.83 bilion hasil negeri yang berjaya dikutip setakat 31 Ogos tahun ini, dan menurutnya, kadar kutipan hasil negeri itu melebihi sasaran ditetapkan dalam tempoh tersebut dengan mencapai prestasi 120 peratus.

Katanya pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum adalah antara persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat pertamanya bersama bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran negeri setahun yang lepas.

“Antara persetujuan dicapai adalah untuk memastikan Petronas memulakan pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum pada kadar segera,” katanya berucap pada Majlis Setahun Kerajaan GRS Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata selain cukai jualan produk petroleum, kerajaan negeri Sabah turut menyasarkan kutipan pembayaran dividen badan berkanun negeri dan syarikat kerajaan negeri sebanyak RM100 juta pada tahun ini bagi meningkatkan hasil negeri.

Sebanyak RM25.72 juta dividen telah dikutip setakat September dan sasaran itu dijangka dapat dicapai menjelang penghujung tahun, katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneroka sumber khazanah alam Sabah dengan pengurusan mampan menerusi beberapa inisiatif yang sedang dirancang termasuk pembangunan dan penjanaan pendapatan melalui perdagangan kredit karbon, meningkatkan hasil baharu melalui sumber mineral, menghidupkan semula aktiviti ekonomi dan menggalakkan kitaran wang melalui perbelanjaan isi rumah.

Sementara itu, Hajiji berkata tiga sektor utama yang menjadi tumpuan dalam Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan telah menunjukkan pencapaian serta perkembangan positif menerusi beberapa projek pembangunan dan pelaburan yang berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

“Secara keseluruhan, pelaksanaan pembangunan ketiga-tiga sektor tumpuan itu akan melibatkan pelaburan sebagai enjin pertumbuhan. Banyak pihak telah mengemukakan hasrat untuk melabur di negeri ini dan pelbagai inisiatif pelaburan akan dapat direalisasikan,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut melancarkan penubuhan Yayasan Kebajikan Sabah bagi membantu kerajaan negeri menggerakkan agenda kebajikan, selain berfungsi sebagai institusi memperkasa kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan, korporat dan swasta yang bersedia untuk mencari dana bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Katanya yayasan itu akan ditadbir urus secara profesional oleh petugas sosial terlatih untuk memastikan penyaluran bantuan dibuat secara telus dan sampai kepada golongan sasar. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *