Pertimbang Beri IC Kepada Penerima Vaksin Di Sabah & Sarawak, Kata Timbalan Menteri

KDN mempertimbangkan langkah memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah, termasuk dalam kalangan Orang Asal yang belum memiliki dokumen identiti diri.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan langkah memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah, termasuk dalam kalangan Orang Asal yang belum memiliki dokumen identiti diri, jika mereka memenuhi kelayakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said berkata, kementerian telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Warganegara Peringkat Negeri Sarawak untuk meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di negeri itu sementara bagi negeri Sabah, ia dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

“Kita harap kerjasama ini dapat diteruskan bagi memastikan semua individu yang diberitahu oleh Yang Berhormat dapat diberikan (dokumen) identiti mereka dan kita telah tukarkan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan pada 2015 kepada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dengan (pasukan) ‘mobile’ kita akan turun ke pedalaman.

“Kita juga mengalu-alukan kementerian lain untuk memberikan data,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai langkah kementerian pada masa depan untuk mengesan dan jangka masa untuk populasi berkenaan diberikan hak kewarganegaraan.

Lukanisman turut meminta menteri menyatakan tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri terutama sekali di Sarawak dan tindakan mengenai isu individu tanpa dokumen pengenalan diri.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengambil inisiatif dan langkah proaktif dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman melalui inisiatif Mekar.

“Semasa pemeriksaan OP Patuh, kementerian ini sentiasa menasihatkan semua pihak terutamanya majikan untuk memastikan setiap pekerja yang digajikan adalah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

“Majikan turut dinasihatkan supaya meregularisasikan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memastikan semua pekerja adalah berdokumen dan mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost