95.1% Kes Baharu Covid-19 Di Sabah Kategori 1 & 2 – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, 95.1% daripada jumlah keseluruhan kes baharu di negeri itu adalah dalam kategori satu dan dua.

Katanya, daripada 1,649 kes baharu yang dicatatkan, sebanyak 508 kes atau 30.8% adalah dalam kategori satu manakala 1,061 atau 64.3% adalah dalam kategori dua.

“Selain itu, lapan pesakit adalah dalam kategori tiga, 12 orang dalam kategori empat dan lapan lagi dalam kategori lima,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, 756 kes atau 35% daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, hari ini, adalah kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari.

Selain itu, katanya, 249 atau 11.5% adalah kes lewat daftar empat hingga lima hari manakala 174 kes lagi atau 8% adalah kes-kes yang berdaftar lewat melebihi lima hari.

“Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 932 (56.5%), saringan bergejala 481 (29.2%), 74 orang daripada kluster dan 162 orang melalui saringan lain-lain.

“Satu kluster baharu turut dicatatkan hari ini iaitu Kluster Desa Jeroco 2 di Kinabatangan yang mencatatkan 55 kes, hari ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *