KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah menafikan dakwaan kononnya orang ramai di negeri itu dibenarkan merentas daerah dengan mengikut kapasiti kenderaan.
Katanya, notis polis yang tular di media sosial hari ini dikeluarkan pada 6 Mei tahun lalu dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Ketika ini, Sabah masih terikat dengan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang tidak membenarkan sebarang pergerakan rentas daerah kecuali bagi tujuan kecemasan, pekerjaan dengan mengemukan surat majikan, janji temu vaksinasi Covid-19, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin melawat anak bawah umur 18 tahun.
“Selain itu, hanya pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang lengkap divaksin dibenarkan keluar dalam daerah sama berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial notis yang menyatakan kebenaran kepada orang ramai untuk merentas daerah dengan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan tanpa perlu kebenaran polis.
Sehubungan itu, Idris memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu dan tidak sahih.
“Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 serta penjara setahun jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost