16,073 Kes Baharu Covid-19, Rekod Tertinggi 24,813 Kes Sembuh

Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 16,073 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan bilangan kes sembuh mengatasi jumlah jangkitan baharu.

Bilangan pesakit yang discaj dari hospital mencapai rekod tinggi, iaitu 24,813 seterusnya membawa kes sembuh keseluruhannya 1,746,526.

Rekod kes sembuh sebelum ini adalah 23,473 pada 2 September.

Jumlah jangkitan terbaru ini juga penurunan berbanding 19,198 kes direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan jangkitan kini adalah 1,955,771.

Seramai 1,312 pesakit menerima rawatan rapi dengan 967 disahkan positif Covid-19 manakala 345 disyaki dijangkiti.

Sementara itu, 698 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dengan 444 pesakit positif Covid manakala baki 254 disyaki dijangkiti.

Sarawak sekali lagi merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 3,522.

Ini disusuli Johor dengan 2,030 kes, Selangor (1,947), Sabah (1,649), Pulau Pinang (1,243), Kedah (1,191), Kelantan (1,070), Perak (1,011), Pahang (878), Terengganu (704), Kuala Lumpur (398), Melaka (206), Negeri Sembilan (156), Perlis (41), Putrajaya (16) dan Labuan (11).

Jumlah jangkitan di Pahang adalah rekod tertinggi baharu, mengatasi rekod 853 kes pada 10 Sept.

Sebanyak 16,052 jangkitan tempatan direkodkan hari ini melibatkan 14.352 rakyat tempatan dan 1,700 warga asing, selain 21 kes import.

Noor Hisham berkata, daripada kes jangkitan baharu itu, hanya 1.5% adalah Kategori 3, 4 dan 5.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah 0.98, dengan Sarawak menunjukkan Rt tertinggi iaitu 1.18.

Negeri lain dengan Rt melebih 1 termasuk Terengganu (1.08), Johor (1.04), Perak dan Perlis (1.03), Pulau Pinang dan Kelantan (1.02), serta Pahang (1.0).

Labuan pula merekodkan Rt sifar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *