Kim Swee Letak Jawatan Di FAM, Kini Jurulatih Baharu Sabah FC

Datuk Ong Kim Swee kini jurulatih baharu Sabah FC.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee selepas pengarah teknikalnya itu menerima jawatan sebagai ketua jurulatih Sabah FC yang baharu.

Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Saifuddin menjelaskan surat peletakan jawatan itu diserahkan Kim Swee kepadanya hari ini dan pengurus FAM menerima peletakan jawatan terbabit.

“(Kami) mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beliau ke jawatan baharunya itu berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama FAM dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya bersama Sabah FC,” kata Saifudin.

Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember depan sudah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula dari tahun 2007 dengan pelbagai jawatan.

Kerjayanya bermula sebagai ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal bermula Januari 2021.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013 serta pingat perak Sukan SEA 2017.

Selain itu, Kim Swee juga membawa pasukannya mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *