KOTA KINABALU: Anggota bomba lambat tiba di lokasi kebakaran yang meragut nyawa empat sekeluarga baru-baru ini, kerana diberikan alamat tidak tepat dan bukannya akibat masalah sistem respons kecemasan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Sabah Md Ali Ismail berkata anggota dari Balai Bomba Penampang tersasar akibat maklumat diberikan yang tidak tepat.
Sambil mengucapkan takziah atas kematian empat sekeluarga itu, Md Ali berkata, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 3.04 pagi.
Kenyataannya itu susulan dakwaan sebelum ini bahawa bomba tiba lambat di lokasi kebakaran di Taman Hungab, Selasa lalu, disebabkan masa dibazirkan selepas panggilan kecemasan melalui Putrajaya di bawah Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.
Kelewatan berlaku selepas nota panggilan dicetak tertera alamat tidak tepat yang diberikan pemanggil, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Pasukan itu terpaksa mendapatkan maklumat yang sebenar untuk sampai ke lokasi.
“Semasa ketibaan, pasukan bomba mendapati bahawa api telah merebak di aras bawah dan atas rumah.”
Kebakaran itu meragut nyawa Matthew Wong, 50, isterinya Jecky Vun Kon Fung, 48, serta dua anak lelaki mereka Brendan, 18, dan Eric, 15.
Susulan kejadian itu, Ketua Menteri Hajiji Noor menggesa untuk perubahan terhadap prosedur sistem MERS999 yang berpusat di Putrajaya.
Katanya, panggilan kecemasan terutama melibatkan kebakaran dan memerlukan bantuan segera tidak patut dirujuk ke Putrajaya terlebih dulu.
Bekas Ketua Menteri Shafie Apdal turut menggesa semakan terhadap sistem itu, selain memetik kenyataan saksi kepada media bahawa anggota penyelamat tidak pasti dengan lokasi sebenar kejadian.
Menjelaskan proses maklumat MERS999, Ali berkata pusat panggilan di Melaka telah menerima panggilan kecemasan dalam kejadian itu, dengan empat panggilan dialihkan ke situ.
Panggilan pertama direkodkan pada 2:49:01 pagi, manakala yang kedua pada 2:49:02 pagi, katanya.
Jelasnya, terdapat tiga pusat panggilan di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching. Panggilan kecemasan 999 akan dialihkan ke salah satu daripadanya.
Ali berkata, pada peringkat awal, petugas di pusat panggilan MERS999 telah mendapatkan empat maklumat asas iaitu nama dan nombor telefon pemanggil, jenis kecemasan serta lokasinya.
“Maklumat tersebut telah disalurkan melalui Sistem Penghantaran Terbantu Komputer kepada Pusat Gerakan Operasi JBPM, Sabah dan BBP Penampang.
“JBPM telah menerima maklumat tersebut pada jam 2.52 pagi dan telah menggerakkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kebakaran tersebut,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama petugas Pusat Panggilan MERS999 masih meneruskan panggilan untuk mendapatkan maklumat tambahan berdasarkan Protokol Kebakaran
“Maklumat tambahan ini disalurkan kepada PGO JBPM Sabah dari semasa ke semasa yang akan dapat membantu pihak JBPM merancang strategi tindak balas operasi, sebelum panggilan tersebut dipanjangkan kepada PGO JBPM Sabah,” katanya.
Tambahnya, terdapat dua panggilan berkenaan kebakaran tersebut telah disambung ke PGO JBPM Sabah.
Sementara itu, katanya, siasatan unit forensik bomba mendapati punca bebanan elektrik di tingkat bawah rumah dan bebanan api berlebihan menyebabkan kebakaran merebak lebih cepat.
Jangkaan api bermula adalah pada jam 2.32 pagi, katanya.
“Mangsa dipercayai tidak berjaya menyelamatkan diri kerana bahagian bawah rumah telah dipenuhi api, dan semua tingkap dan pintu keluar adalah berjeriji serta berkunci,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost