Polis Penampang Rampas 3,986 Karton Minuman Keras, 40,500 Biji Mercun

PENAMPANG: Sebuah gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup di Jalan Pantai Berahi, Putatan, di sini, di serbu pihak berkuasa, semalam.

Serbuan ‘Op Kontraban’ jam 3.05 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, hasil serbuan, IPD Penampang berjaya merampas 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama.

“Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas bernilai RM502,316 selepas tafsiran cukai.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasat lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi ini dijalankan bersama JKDM Sabah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini

“Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai.

“Ia bagi memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan atau stor rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai,” katanya.

Mohd Haris berkata, sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah, sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya dalam tempoh dua bulan direkodkan.

Sehubungan itu, Mohd Haris menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *