5,668 Kes Sembuh Di Sabah Hari Ini, Statistik Tertunggak Antara Faktor Peningkatan – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, 2,607 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 165,439.

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatatkan jumlah kes sembuh yang tinggi iaitu 5,668, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh yang telah discaj dari hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam sebanyak 138,076.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, peningkatan kes sembuh yang dilaporkan itu termasuk daripada kes-kes tertunggak.

”Menurut maklumat yang saya terima daripada SKN (Setiausaha Kerajaan Negeri), statistik kes sembuh juga tinggi kerana ada statistik tertunggak yang baru diambil kira.

”Ia juga berikutan sistem pelaporan discaj ke KKM (Kementerian Kesihatan) ada masalah sejak seminggu lalu. Hari ini juga kita banyak selesaikan kes tertunggak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, antara faktor peningkatan kes sembuh juga disebabkan lebih 90% pesakit adalah dalam kategori satu dan dua.

”Kebiasaannya mereka akan pulih dalam masa 14 hari di PKRC,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 4,983 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,720 orang di hospital, 3,191 di PKRC awam, 72 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara manakala sembilan di fasiliti swasta.

”Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 195 orang merangkumi 126 di ICU, 69 di wad terbuka dan 89 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan atau ‘ventilated’,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata 2,607 lagi kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 165,439 kes.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *