Kedai Cuci Kereta Helah Pengedar Dadah Di Kota Marudu

Polis membongkar pengedaran dadah di pusat mencuci kenderaan. – Gambar Hiasan

KOTA MARUDU: Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah di sini yang menjadikan pusat mencuci kereta sebagai helah.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak, berkata polis menahan enam suspek dalam beberapa serbuan berkaitan kes berkenaan sejak seminggu lalu.

Katanya, pada serbuan pertama pada 1 September lalu, polis menahan tiga suspek lelaki berusia 38 tahun sehingga 53 tahun, iaitu pelanggan dan pekerja pusat mencuci kenderaan.

“Pemeriksaan ke atas seorang suspek menemui satu peket mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.1 gram.

“Pemeriksaan lanjut dua lagi suspek lelaki menemui satu peket syabu seberat 0.11 gram dan satu kotak plastik mengandungi syabu seberat 0.42 gram,” katanya dihubungi hari ini.

Zairolnizal berkata, polis juga menemui satu ruangan penyimpanan bekalan dadah dan satu peket mengandungi syabu seberat 7.12 gram.

“Dalam serbuan kedua semalam di Jalan Langkon, Pitas polis menahan satu kereta sebelum menahan dua suspek lelaki dan satu perempuan berusia 24 sehingga 32 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati satu peket plastik mengandungi syabu seberat 31.3 gram disembunyikan di bawah alas kaki penumpang hadapan,” katanya.

Zairolnizal berkata, berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 43.79 gram dengan anggaran harga RM4,400.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *