Sabah Catat 45 Kematian Akibat Covid-19 Pada Selasa

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan 45 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 hari ini meningkat berbanding 31 kes semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata daripada jumlah itu daerah Tawau merekodkan 17 kematian, Kota Kinabalu (lima) Sandakan (lima), Papar (empat), Penampang (empat), Tuaran, Beluran dan Keningau masing-masing dua kes manakala Kalabakan, Kinabatangan, Beaufort dan Ranau masing-masing satu kes.

“Kes positif COVID-19 pula naik kepada 2,107 kes hari ini berbanding 1,844 semalam, walaupun kes di Kota Kinabalu turun 61 kes tetapi kes meningkat di kawasan lain seperti Kinabatangan yang mencatat peningkatan 47 kes baharu,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata daripada kes baharu hari ini 788 kes adalah lewat daftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan, 128 kes adalah lewat daftar antara empat hingga lima hari, dan 172 kes adalah lewat daftar melebihi lima hari.

Beliau berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 163,372 kes, manakala pesakit COVID-19 yang sembuh seramai 1,590 menjadikan jumlah kumulatif 132,408 orang. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *