Rakyat Sabah Mahu Penglibatan Klinik, Hospital Swasta Untuk Lawan Covid-19

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah meminta supaya Kementerian Kesihatan memberi keutamaan terhadap pembabitan klinik dan hospital swasta dalam pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di negeri itu, menurut satu kaji selidik.

Mereka berkata klinik dan hospital swasta boleh memainkan peranannya dalam melakukan pengurusan dan memberi sokongan terhadap pesakit Covid-19 tidak bergejala.

Timbalan Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) Dr Pamela Yong berkata seramai 201 responden dalam kaji selidik itu diminta menyenaraikan lima inisiatif yang perlu diutamakan kementerian.

Inisiatif-inisiatif itu adalah:

  • Hantar lebih banyak bekalan vaksin, terutamanya dos tunggal bagi meningkatkan kadar imunisasi;
  • Penempatan lebih ramai petugas kesihatan daripada sukarelawan belia ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV);
  • Hantar lebih banyak peralatan perubatan dari kawasan kurang dijangkiti di Malaysia ke hospital-hospital di Sabah;
  • Libatkan klinik dan hospital swasta untuk memberi sokongan terhadap kes Kategori 1 (tiada simptom) dan 2 (simptom ringan) untuk mengurangkan beban petugas barisan hadapan; dan
  • Pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Berdasarkan tinjauan pendapat, penduduk Sabah menyenaraikan bantuan daripada klinik dan hospital swasta sebagai perkara paling utama, diikuti dengan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar lebih banyak bekalan vaksin dos tunggal ke negeri itu,” kata Yong.

Katanya, Sabah yang menerima peruntukan 180,000 daripada 200,000 dos vaksin CanSino yang dijanjikan setakat ini bagi vaksin dos tunggal.

“Vaksin dos tunggal dilihat amat penting untuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar memandangkan agak sukar bagi penduduk itu melakukan perjalanan untuk mendapatkan dos kedua,” katanya.

Yong berkata penghantaran lebih banyak peralatan perubatan ke hospital di Sabah dari kawasan kurang dijangkiti adalah keutamaan ketiga, disusuli dengan penempatan lebih ramai petugas dalam kalangan sukarelawan belia ke negeri itu.

“Penempatan lebih ramai petugas bukan menjadi pilihan penduduk Sabah kerana mereka bimbang varian Delta mungkin akan menular secara tidak sengaja daripada sukarelawan ini memandangkan kes harian di Semenanjung membimbangkan,” katanya.

Inisiatif yang diletakkan paling rendah dalam senarai ialah pelaksanaan PKP.

“Mereka secara sebulat suara menolak pelaksanaan satu lagi PKP. Ini mungkin reaksi segera selepas mereka menjalani PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP selama beberapa bulan tahun ini.”

Yong berkata tidak ramai penduduk di luar bandar menggunakan aplikasi MySejahtera disebabkan liputan jalur lebar yang kurang memuaskan dan kementerian perlu menggunakan saluran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk menyebarkan maklumat mengenai vaksinasi.

Beliau turut mencadangkan supaya kementerian mengutamakan penempatan aset di daerah-daerah yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi bagi mempercepatkan pembukaan ekonomi dan menyelamatkan lebih banyak pekerjaan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahposthttps://www.facebook.com/v3.1/plugins/comments.php?app_id=752856354791027&channel=https%3A%2F%2Fstaticxx.facebook.com%2Fx%2Fconnect%2Fxd_arbiter%2F%3Fversion%3D46%23cb%3Df2662880882a684%26domain%3Dwww.sabahpost.net%26is_canvas%3Dfalse%26origin%3Dhttps%253A%252F%252Fwww.sabahpost.net%252Ff3063f0bbb8b608%26relation%3Dparent.parent&container_width=735&height=100&href=https%3A%2F%2Fwww.sabahpost.net%2F2021%2F09%2F08%2F5668-kes-sembuh-di-sabah-hari-ini-statistik-tertunggak-antara-faktor-peningkatan-masidi%2F&locale=en_US&numposts=5&order_by=social&sdk=joey&version=v3.1&width=

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *