PKPD Di Dua Lagi Lokaliti Di Sabah, Satu Disambung

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua lokaliti di Sabah selama 14 hari bermula Khamis ini hingga 22 September.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan jangkitan COVID-19 di lokaliti itu.
“PKPD di Sabah membabitkan Kampung Sugiang Baru, Tenom serta Kampung Rapak, Ranau.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, PKPD di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, Sabah yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan 14 hari lagi hingga 22 September.

Selain itu, beliau berkata, PKPD di beberapa lokaliti di Kelantan, Pahang dan Sabah akan ditamatkan esok.

“Kelantan membabitkan lokaliti di Tumpat iaitu Kampung Gerong, Mukim Sungai Pinang; Kampung Baru Nelayan, Mukim Tumpat dan Kampung Talak, Mukim Jal Besar.

“Pahang di perkampungan Orang Asli di Ulu Tenom, Cameron Highlands membabitkan Kampung Sungai Kabut, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, manakala Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah di Bera,” katanya.

Beliau berkata, Sabah membabitkan Kampung Gudon, Menggatal dan Kampung Lobou, Kota Kinabalu; Kampung Tengah, Kinarut, Papar; Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau serta Tawau di Kampung Sentosa Blok 4 dan Batu 2, Lorong Saddani.

Katanya, turut tersenarai Kuarters Kilang Mee Tien Hock, Penampang; Taman Sri Panglima, Beaufort serta enam lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Betutai, Kampung Bontoi, Kampung Kindu, Kampung Sri Rugading, Kampung Telipok Ria dan Kampung Serusop.

“Kita juga tamatkan PKPD di Kampung Brunei, Membakut, Beaufort serta Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *