Kluster Libat Pusat Tahanan Bimbingan Akhlak Dikesan Di Keningau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU : Satu kluster COVID-19 melibatkan sebuah pusat tahanan bimbingan akhlak di Keningau dikesan dengan 29 kes positif direkodkan hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata Kluster Pagar Sebrang dicetus seorang pegawai penjara berusia 40 tahun di pusat tersebut yang dikesan positif pada 25 Ogos lepas melalui saringan kontak rapat.

“Punca disyaki bagi penularan kluster ini ialah jangkitan ahli keluarga kepada kes indeks yang kemudian menjangkiti rakan sekerja, penghuni penjara di bawah jagaan pegawai itu dan ahli keluarga beliau yang lain,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata turut dikesan hari ini ialah Kluster Koyah di Kinabatangan iaitu kluster tempat kerja di ladang melibatkan 26 kes positif COVID-19 berpunca daripada kes indeks seorang pekerja lelaki berusia 43 tahun yang disahkan positif pada 20 Ogos.

Masidi juga berkata Sabah mencatat 2,136 kes positif COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 159,421 dan kes sembuh ialah 2,941 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih 127,312 orang manakala 4,831 lagi masih menerima rawatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *