Pegawai Penjara & Pekerja Ladang Pencetus 2 Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Pegawai penjara di pusat tahanan bimbingan akhlak yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Pagar Sebrang sehingga menular di tiga mukim di Keningau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, penularan jangkitan di pusat tahanan itu membabitkan mukim Sebrang, Lingkudau dan Luagan daerah terbabit.

Menurutnya, pada 25 Ogos lalu, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau menerima kes indeks dengan keputusan RTK AG positif daripada Kampung Kadalakan yang dilaporkan dari Pusat Kuarantin Sementara IPG Keningau melalui saringan kontak rapat.

“Kes indeks adalah lelaki berusia 40 tahun yang bertugas sebagai pegawai penjara di pusat tahanan bimbingan akhlak.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat pada 27 Ogos hingga 4 September lalu mendapati pertambahan bilangan kes positif di dalam daerah yang sama.

“Punca yang disyaki bagi penularan kluster ini ialah jangkitan ahli keluarga kepada kes indeks yang kemudiannya menjangkiti rakan sekerja, penghuni penjara di bawah jagaan pegawai itu dan ahli keluarga yang lain.

“Kluster ini dinamakan Pagar Sebrang yang kerana kluster ini terletak di sebuah institusi penjara golongan juvana, yang mana kawasan yang berpagar penuh di Mukim Sebrang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Masidi berkata, setakat hari ini sebanyak 29 kes positif dalam kluster terbabit termasuk lima kes baharu yang dilaporkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sabah turut mencatatkan satu lagi kluster, Kluster Koyah di Kinabatangan yang dikesan di ladang sawit di Mukim Sukau.

Menurutnya, kes indeks adalah lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pekerja ladang yang disahkan positif.

“Setakat hari ini, aktiviti persampelan kontak seterusnya mengesan 25 kes positif dalam kalangan kontak sosial termasuk 19 kes baharu yang dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 2,136 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 159,421 kes.

“Sebanyak 33 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu 12 kes di Tawau, tujuh kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Kalabakan dan Tuaran, dua kes di Lahad Datu dan Penampang manakala Kudat, Papar, Putatan dan Semporna masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *